KANGAR: Usaha mempromosikan pelbagai etnik di negara ini perlu dipergiat dengan mengetengahkan kisah, sejarah dan sumbangan etnik terbabit kepada masyarakat.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, naratif kepelbagaian itu perlu diangkat secara lebih meluas agar masyarakat dapat memahami, menghargai dan memperkukuh semangat perpaduan.
Katanya, kekeliruan yang sering kali timbul adalah tanggapan etnik seperti Siam hanya wujud di Thailand dan perkara tersebut perlu diperbetulkan melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berterusan.
“Saya ingin memohon agar pihak media dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada etnik Siam di Malaysia memandangkan masih ramai yang kurang mengetahui kewujudan dan peranan komuniti ini dalam lanskap masyarakat negara kita,” katanya pada Majlis Perasmian Perayaan Etnik Siam Songkran Kebangsaan di Wat Macchimaprasit, Jejawi, di sini hari ini.
Aaron berkata, Songkran adalah perayaan utama yang penuh bermakna dalam kalender masyarakat bumiputera Siam di negara ini yang menandakan kedatangan tahun baharu dengan penuh kesyukuran serta kegembiraan.
Beliau berkata, berdasarkan data, jumlah penduduk berketurunan Siam di negara ini dianggar 70,000 orang.
“Jumlah ini adalah dengan pecahan signifikan tertumpu di negeri utara Semenanjung seperti Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak,” katanya.
Katanya, perayaan Songkran juga adalah sebahagian daripada khazanah warisan budaya yang mencerminkan sejarah panjang dan keunikan masyarakat Siam di Malaysia.
Beliau berkata, dalam konteks Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian, Songkran menjadi simbol identiti bersama yang memperlihatkan bagaimana pelbagai budaya dapat hidup subur dalam suasana harmoni.
“Tradisi Songkran membuka ruang kepada kita untuk lebih mengenali asal-usul, sejarah serta cara hidup masyarakat Siam yang telah lama menjadi sebahagian daripada landskap sosial negara ini,” katanya. – UTUSAN










