ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa kerajaan Persekutuan menyelesaikan segera isu perjawatan dan kelengkapan bagi memastikan Hospital Pasir Gudang dapat segera beroperasi sepenuhnya.
Titah baginda, sektor kesihatan adalah sektor yang kritikal dan tidak boleh ditangguhkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat setempat.
“Justeru, saya mahu pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang disegerakan.
“Walaupun sebahagian besar perkhidmatan telah mula beroperasi, isu perjawatan dan kelengkapan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan,” titah baginda ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Pada 29 Jun tahun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Hospital Pasir Gudang akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos 2025 sebelum ditangguhkan susulan beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas kesihatan, khususnya doktor serta jururawat.
Hospital itu kemudian beroperasi secara berperingkat sejak akhir tahun lalu melibatkan beberapa kemudahan dan perkhidmatan awal termasuk Jabatan Kecemasan dan Trauma; Perubatan Am; Pembedahan Am; Pediatrik; Anestesiologi; Obstetrik dan Ginekologi.
Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan ucapan syabas di atas pengiktirafan diberikan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai antara ‘World’s Best Hospital 2026’.
Titah baginda, pencapaian itu hasil usaha bersama kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kecekapan sistem kesihatan yang kini berada pada landasan yang tepat.
“Dalam masa sama pelbagai inisiatif seperti menambah baik fasiliti, pelaksanaan sistem digital serta pendekatan inovatif bagi mengurangkan kesesakan perkhidmatan hospital juga sudah berjaya meningkatkan pengalaman dan keselesaan pesakit.










