Ribut: Kerajaan negeri lulus RM1.6 juta baiki Flat Taman Puteri 

Ribut: Kerajaan negeri lulus RM1.6 juta baiki Flat Taman Puteri 

MOHD. Jafni Md. Shukor meninjau sebuah unit kediaman di Flat Taman Puteri, Kulai yang rosak dilanda ribut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan hampir RM1.6 juta untuk membaiki  bumbung tiga blok kediaman di Flat Taman Puteri di sini yang rosak dilanda ribut, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ribut yang berlaku semalam mengakibatkan kerosakan pada struktur bumbung serta menjejaskan lapan unit rumah, dengan enam daripadanya mengalami kerosakan kritikal.

“Dua unit lagi tidak dapat dinilai sepenuhnya berikutan ketiadaan penghuni semasa kejadian. Selain itu, beberapa kenderaan penduduk turut rosak akibat dihempap serpihan bumbung,” katanya selepas melawat kawasan flat berkenaan hari ini.

Menurut Mohd. Jafni, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja pembaikan awal secara berperingkat bagi kerosakan kecil, di samping memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi di lokasi terjejas.

Katanya, bagi Flat Temenggong pula, MPKu telah memasang kanvas sebagai langkah perlindungan sementara di kawasan bumbung yang rosak bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk terutama ketika hujan. 

“Dalam masa sama, kerja-kerja pembersihan turut dijalankan bagi memastikan persekitaran kembali selamat dan terurus.

“Projek ini dijadualkan bermula Jumaat ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 10 Ogos ini. Ia melibatkan penggantian bumbung jenis asbestos kepada metal deck yang lebih kukuh dan selamat, selaras dengan keperluan semasa serta mengurangkan risiko penyelenggaraan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN