AUSTIN: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menyifatkan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat sebagai mimpi ngeri selepas ketinggalan pada tiga pusingan terakhi di Litar Americas (COTA), minggu lalu.
Prestasi tayar jentera Bagnaia merosot ketika menghampiri garisan penamat sekali gus membolehkan beberapa pelumba lain termasuk Enea Bastianini, Alex Marquez, Raul Fernandez dan Luca Marini memintasnya.
“Sebaik sahaja saya bermula, saya berasa tidak berada dalam keadaan baik. Cengkaman belakang sedikit rendah, selepas itu saya mula menghadapi banyak kesukaran,” katanya.
Begitu pun, Bagnaia berjaya mengekalkan kedudukannya di hadapan rakan sepasukan, Marc Marquez sebelum terpaksa mengalah kepada serangan pelumba lain pada pusingan terakhir.
“Saya cuma menunggu sehingga tayar mereka yang di hadapan mula merosot tetapi saya mula merosot banyak. Jadi tanpa menekan terlalu kuat, saya benar-benar memusnahkan tayar belakang.
“Saya cuma cuba menekan sedikit dengan empat pusingan baki untuk mengekalkan Marc dan Enea di belakang tetapi dua pusingan terakhir adalah mimpi ngeri kerana saya berisiko terjatuh.
“Sebaik sahaja saya merebahkan badan ke sebelah kanan, saya kehilangan kawalan dan saya mula memecut namun tidak dapat mengubah keadaan,” katanya.
Pelumba Itali itu dijangka menyertai pasukan Aprilia bersama Marco Bezzecchi bagi musim 2027. – AGENSI










