Pickleball Malaysia 'pikat' 10 negara, tawar hadiah RM66,000

Pickleball Malaysia ‘pikat’ 10 negara, tawar hadiah RM66,000

PATRICIA (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid ketika majlis pelancaran kejohanan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Pickleball Malaysia edisi kedua yang bakal berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini terus mencipta tarikan tersendiri apabila menerima penyertaan daripada 10 negara setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management (SCORE), Patricia Tan berkata, penglibatan meluas dari luar negara menjadi petunjuk jelas bahawa sukan itu semakin berkembang pesat, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, antara negara yang telah mengesahkan penyertaan termasuk Thailand, Kemboja dan Filipina, selain wakil dari luar rantau seperti United Kingdom serta Afrika Selatan.

“Secara keseluruhan, hampir 10 negara sudah mendaftar setakat ini dan penyertaan masih dibuka,” katanya pada sidang media kejohanan berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid.

Tambah Patricia, beberapa lagi negara seperti Taiwan, Singapura, Indonesia dan Vietnam turut akan memeriahkan kejohanan berkenaan, sekali gus memperkukuh statusnya sebagai acara bertaraf antarabangsa.

Beliau menjelaskan, sambutan positif yang diterima mencerminkan potensi besar pickleball sebagai sukan komuniti yang inklusif serta mampu menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk menghimpunkan komuniti dan mempromosikan gaya hidup aktif serta sihat,” ujarnya.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di PLAYA Racquet Club @ PARC dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM66,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN