JOHOR BAHRU: Pertumbuhan ekonomi memberangsangkan yang diraih kerajaan Johor hari ini ditunjangi oleh dasar dan sokongan daripada Kerajaan Pusat yang komited menjaga kepentingan negara.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan bilateral dua negara bersama rakan sejawatnya dari Singapura menjayakan hasrat pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menarik banyak kemasukan pelabur asing.
Katanya, perkara itu perlu diterangkan agar sokongan dan usaha Kerajaan Pusat memainkan peranan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini dapat dihayati.
“Johor memang mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik tapi kebanyakannya kerana hubungan gagasan kerajaan pusat. Saya tidak menafikan peranan kerajaan negeri Johor dan jentera mereka, tetapi janganlah seolah-olah kita tidak melakukan apa-apa, ini soal dasar dan fakta.
“Forest City kita pulihkan, projek Maharani Freeport yang usulnya tertangguh lama kita bantu, keputusan inisiatif JS-SEZ dibuat kerajaan pusat, kita memberi laluan.
“Siapa kepimpinan kerajaan… kita tidak menafikan jentera kerajaan negeri Johor membantu tetapi ini adalah fakta yang kita perlu terangkan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan bagi kesemua projek itu bukan mudah malah menerusi perbincangan dijalankan berulang-kali serta usaha berterusan.
“Saya berulang kali berhubungan dengan Lee Hsein Loong, Perdana Menteri Singapura pada ketika itu bagi meyakinkan beliau tentang projek JS-SEZ.
“Bukan senang untuk memujuk negara maju seperti Singapura untuk menjalin persefahaman,” katanya. – UTUSAN










