KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 3,000 liter minyak diesel tanpa lesen sah, April lalu.
Tertuduh, M. Saravanan, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 3,000 liter minyak diesel yang berada di dalam sebuah lori sehingga menimbulkan keadaan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan secara borong atau runcit tanpa lesen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran sebuah sekolah rendah di tepi Jalan Air Jernih di sini, pada pukul 5.50 petang, 24 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding itu, Pegawai-Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), M. Selvaraju dan Mohd Izzat Arif mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.
Saravanan yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin yang rendah atas sebab tidak bekerja serta ibu bapanya sudah meninggal dunia.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun ini bagi serahan dokumen.
Ahad lalu, KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi menerusi Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 di sekitar ibu negara.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pasukan khas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan keluar masuk stesen minyak di Jalan Kepong dan Jalan Kuching.
Menurutnya, kenderaan tersebut kemudian diekori sebelum ditahan kira-kira pukul 6.40 petang di tepi Jalan Air Jernih, berhampiran Sekolah Kebangsaan Marian Convent, Setapak. – UTUSAN










