Harga petrol, diesel naik buat kali ketiga dalam tempoh 10 hari - Utusan Malaysia

Harga petrol, diesel naik buat kali ketiga dalam tempoh 10 hari

HARGA petrol naik buat kali ketiga dalam tempoh 10 hari di India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Rakyat India terpaksa berdepan dengan bebanan baharu apabila harga bahan api di seluruh negara itu dinaikkan sekali lagi pada Sabtu.

Ia merupakan peningkatan buat kali ketiga dalam tempoh hanya 10 hari ekoran tekanan tenaga global yang terus memberi kesan kepada kadar runcit domestik.

Harga kedua-dua bahan api itu meningkat hampir satu peratus, atau kurang daripada 1 rupee (RM0.04).

Petrol kini dijual pada harga 99.51 rupee (RM4.12) dan diesel pada 92.49 rupee (RM3.83) seliter di New Delhi, menurut laman web Perbadanan Minyak India.

Harga bahan apai berbeza di seluruh India disebabkan cukai tempatan.

Syarikat lain yang lebih kecil seperti Bharat Petroleum Corporation Limited (BPCL) dan Hindustan Petroleum Corporation Limited turut menaikkan harga dalam julat yang sama.

Ini merupakan kenaikan ketiga dalam tempoh lebih seminggu, menjadikan kenaikan terkumpul harga diesel di India kepada 5.5 peratus dan harga petrol kepada lima peratus.

Selain bahan api utama itu, harga gas asli mampat (CNG) turut dinaikkan sebanyak satu rupee sekilogram, menjadikan harga baharunya kini mencecah 81.09 rupee (RM3.36) sekilogram.

Langkah semakan semula harga pasaran domestik ini dilakukan susulan ketidakstabilan yang berterusan dalam pasaran minyak mentah global.

Ia berkait rapat dengan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat, selain kebimbangan mengenai gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang merupakan salah satu laluan transit minyak paling kritikal di dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN