PASTAM giat kesan, bela kebajikan bekas pemain sepak takraw negara

PASTAM giat kesan, bela kebajikan bekas pemain sepak takraw negara

Akramuddin Abdul Aziz berbual dengan Rahim Kasim di Taman Perwira Cheng petang semalam. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) akan mempergiat usaha mengesan serta menjaga kebajikan bekas pemain negeri dan kebangsaan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka dalam mengharumkan nama Melaka dan Malaysia di pentas sukan.

Yang Dipertua PASTAM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara berterusan termasuk mengumpul maklumat bekas pemain lama yang mungkin terlepas pandang daripada sebarang bantuan atau perhatian sewajarnya.

Menurutnya, PASTAM komited memastikan kebajikan golongan berkenaan terus terbela memandangkan mereka merupakan antara individu yang banyak berjasa dalam pembangunan sukan sepak takraw negara.

“Kadangkala kita tidak mendapat maklumat terkini mengenai keadaan bekas pemain, justeru kerjasama semua pihak termasuk peminat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada persatuan.

“Jika ada dalam kalangan legenda atau bekas pemain yang memerlukan bantuan, kita akan cuba sedaya upaya membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menziarah ke rumah bekas “killer” kebangsaan, Rahim Kasim di Taman Perwira Cheng di sini, petang semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan bekas apit kanan sepak takraw kebangsaan era 70-an, Rahim Kasim, 74, mendakwa jasa dan pengorbanannya selama lebih sedekad tidak pernah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.

Rahim berkata, sepanjang 12 tahun menabur bakti mewakili negara, tiada sebarang penghargaan atau bantuan diterima daripada badan seperti Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Sepak Melaka (PASTAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Mengulas lanjut Akramuddin berkata, pihaknya juga bercadang mewujudkan satu pangkalan data khusus bagi merekodkan latar belakang serta keadaan semasa bekas pemain sebagai langkah jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau keadaan Rahim, malah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang hampir sedekad bersama skuad sepak takraw negara dan Melaka.

“Rahim adalah antara wira yang tidak didendangkan dan pernah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan termasuk peringkat antarabangsa.

“Kehadiran kami ini sekurang-kurangnya dapat menceriakannya, dan kita berharap lebih ramai rakan-rakan lama tampil menziarahinya,” ujarnya.

Sementara itu, Rahim ketika ditemui melahirkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh PASTAM serta rakan-rakan seperjuangan.

“Saya tidak mengharapkan sebarang bantuan material, sebaliknya hanya ingin persatuan menghargai ingatan serta kunjungan sahabat lama yang sanggup meluangkan masa,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN