Pemain sepak takraw negara masih ‘lena’? 

Pemain sepak takraw negara masih ‘lena’?

AHMAD JAIS BAHARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap kesiapsiagaan pemain negara masih membimbangkan jurulatih meskipun Piala Dunia Sepaktakraw 2026  akan berlangsung bulan depan.

Ketuanya, Ahmad Jais Baharun berkata, prestasi semasa pemain belum mencapai tahap terbaik, malah dibayangi sikap leka dan terlalu selesa dengan kejayaan lalu.

“Secara peribadi, saya lihat prestasi pemain sebelum menghadapi Piala Dunia agak memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan. 

“Kita belum benar-benar dapat menilai tahap sebenar pasukan melalui perlawanan kompetitif antarabangsa setakat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, kekurangan aksi berintensiti tinggi sejak awal tahun menyebabkan barisan kejurulatihan berdepan kesukaran untuk menilai kemampuan sebenar pemain, terutama dalam situasi perlawanan sebenar.

Setakat ini, kejohanan utama yang diharungi skuad negara hanyalah Piala TYT Pulau Pinang pada Januari lalu, sebelum kalendar pertandingan domestik kembali rancak bermula April menerusi Piala Emas Khir Johari.

Mengulas lanjut, Jais menegaskan, pemain perlu segera bangkit dan meningkatkan tahap prestasi, selain menunjukkan komitmen serta disiplin tinggi bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran lebih besar.

“Saya risau pemain masih lagi leka dan dibuai kejayaan tempoh hari. Ini bukan petanda yang baik untuk pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap perlawanan ujian menentang pasukan pilihan Ratchaburi dapat direalisasikan sebagai medan penilaian terakhir sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

Katanya, aksi tersebut penting bagi mengukur tahap kesiapsiagaan pasukan selain memperbaiki kelemahan yang masih wujud.

“Perlawanan ujian ini penting sebagai kayu pengukur terakhir. Walaupun ada kekangan, kita harap ia dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Mengulas cabaran sebagai tuan rumah, Jais mengakui tekanan bakal lebih dirasai memandangkan harapan tinggi penyokong tempatan yang ingin melihat skuad negara melakar kejayaan.

“Cabarannya lebih besar kerana kita bermain di tempat sendiri. Sudah tentu peminat mahu lihat kejayaan pasukan negara di depan mata,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×