Thailand ancam dominasi Malaysia

Thailand ancam dominasi Malaysia

Sumali Reduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara diingatkan agar tidak terlalu selesa apabila Thailand dijangka tampil dengan wajah baharu dan semangat kebangkitan menjelang Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa bermula 12 hingga 24 Mei ini.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menegaskan, musuh tradisi itu pasti melakukan perubahan susulan prestasi hambar pada Sukan SEA 2025.

Menurutnya, perkembangan terkini dalam pentadbiran Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) juga memberi bayangan bahawa rombakan pasukan mungkin berlaku dalam usaha mengembalikan dominasi mereka.

“Saya difahamkan ada pemilihan baharu dalam TAT dan kemungkinan akan berlaku beberapa perubahan dalam pasukan.

“Thailand tidak akan berdiam diri dan pasti bangkit walaupun mungkin bukan rombakan besar-besaran,” katanya.

Beliau turut menjangkakan perubahan mungkin melibatkan struktur pengurusan pasukan sebagai reaksi terhadap kegagalan lalu.

“Siapa pun yang mereka turunkan, kita tetap perlu bersedia kerana Thailand tetap sebuah pasukan yang berbahaya dan berpengalaman,” ujarnya.

Pada Sukan SEA lalu, Thailand mencatat keputusan di luar jangka apabila tersingkir di separuh akhir acara regu sebelum tewas kepada Malaysia dalam final regu berpasukan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 34 tahun untuk kembali merangkul emas acara regu berpasukan sejak edisi 1991 di Filipina.

Sumali menegaskan, fokus kini terarah sepenuhnya kepada Piala Dunia yang dianggap medan sebenar untuk mengukur keupayaan skuad negara.

“Ini kejohanan besar selepas kejayaan di Sukan SEA dan peminat pasti mahu melihat sama ada kita mampu mengekalkan prestasi serta muncul juara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×