Takraw kekal pemain sama ke Sukan Asia

Takraw kekal pemain sama ke Sukan Asia

Skuad sepak takraw negara dijangka mengekalkan barisan pemain yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Thailadn 2025. - IHSAN PSM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persiapan sepak takraw kebangsaan ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun kekal barisan pemain yang diumumkan sebelum ini.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan menjelaskan, badan induk itu memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan kejurulatihan kebangsaan untuk menentukan barisan terbaik negara.

“Buat masa ini kita tidak bercadang mengubah senarai pemain kerana pemilihan tersebut dibuat berdasarkan penilaian jurulatih yang memantau prestasi mereka.

“Di pihak PSM kita tidak masuk campur dalam soal pemilihan kerana cadangan datang daripada ketua jurulatih dan staf kejurulatihan yang lebih mengetahui kemampuan pemain,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Akademi Sepak Takraw Malaysia, kelmarin.

Menurut beliau, proses pemilihan turut mengambil kira aspek taktikal selain memastikan kombinasi pemain senior dan muka baharu dapat memberi keseimbangan kepada pasukan.

Beliau berkata, keupayaan pemain untuk beraksi dalam beberapa acara juga menjadi pertimbangan penting memandangkan kekangan jumlah pemain dalam temasya besar seperti Sukan Asia.

“Dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia, jumlah pemain yang boleh didaftarkan agak terhad dan ada pemain yang perlu memikul tanggungjawab beraksi dalam lebih daripada satu acara.

“Jadi jurulatih perlu memilih pemain yang benar-benar sesuai dengan posisi serta peranan masing-masing supaya pasukan dapat mengekalkan tahap daya saing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan isu berkaitan pelepasan pemain yang pernah timbul sebelum ini telah diselesaikan sekali gus membolehkan semua atlet memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan pasukan.

Pada majlis sama, beberapa pemain turut menerima insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas kejayaan pada Piala Asia 2025, selain sumbangan duit raya kepada barisan pemain dan jurulatih.

Selain itu, antara muka baharu yang mendapat perhatian ialah tekong Muhammad Fahmi Khalid serta apit kanan Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi bersama barisan pengumpan Zuhri Muhammad Zin, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×