PETALING JAYA: Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyokong dasar pemilihan atlet yang lebih ketat dan dilihat sebagai satu pendekatan strategik bagi menghadapi Sukan Asia Aichi‑Nagoya 2026.
Datuk Ayub berkata, pendekatan pemilihan itu bukan sekadar reaksi kepada keperluan menghadapi Sukan Asia, tetapi telah menjadi amalan PABM sejak sekian lama.
“Memang patut pun. Pendekatan seperti ini tidak dibuat pada Sukan Asia tahun ini sahaja tetapi mana-mana temasya yang PABM sertai, kami akan pastikan atlet yang betul-betul layak sahaja akan dihantar untuk mewakili negara.
“Itulah amalan kami selama ini, lagi pun kita memang sudah meletakkan penanda aras yang tinggi dalam kalangan atlet,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan penyertaan negara ke temasya itu akan dibuat lebih ketat dengan keutamaan diberikan kepada atlet yang layak secara merit atau pun memiliki potensi pingat.
Turut senada dengannya adalah ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan selepas mengakui perkara itu tidak boleh dielakkan jika kos pengangkutan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Konflik antara Iran dan Amerika Syarikat-Israel yang kini dalam pelaksanaan gencatan senjata menjadi punca utama kepada kenaikan kos pengangkutan.
Skuad menembak negara sebelum ini terlepas peluang beraksi pada Piala Dunia di Granada, Sepanyol bermula Ahad lalu hingga 14 April ini susulan kekangan logistik juga berpunca daripada pergolakan di Asia Barat itu.-UTUSAN










