SEAWAL usia 13 tahun, Nurul Aisyah Athirah Mohd. Nadzim sudah berjinak-jinak menceburi sukan angkat berat yang selama ini dianggap sukan lasak yang sinonim dengan lelaki.
Nurul Aisyah yang kini menginjak usia 18 tahun memilih menyertai sukan tersebut selepas mengikut jejak langkah kakaknya yang turut aktif dalam sukan berkenaan sebelum ini.
Sejak itu, Nurul Aisyah yang berdisiplin tinggi tidak lagi menoleh ke belakang untuk bergerak secara serius di dalam sukan tersebut yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Tanpa erti jemu dan lelah mengharungi setiap sesi latihan dikendalikan jurulatih, Mohd. Faiz Musa, ‘gadis ayu’ itu mula mengecapi kejayaan demi kejayaan dalam sukan berkenaan.
Antaranya, Nurul Aisyah telah memenangi pingat emas buat kontinjen Perlis dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 dalam kategori 59 kilogram (kg) wanita.
Sejak kejayaan itu, dia mula melakar sensasi dan menjadi tumpuan ramai, apabila disebalik gaya lemah lembut, namun angkatan yang cukup bertenaga oleh remaja itu telah berjaya membantu Perlis membawa pula pingat emas pada temasya tersebut.
Malah, pada September lalu anak keempat daripada lima beradik itu juga tampil cemerlang apabila berjaya memperolehi tiga pingat emas dalam kategori 69 kg wanita di Kejohanan Max Out di Bandung, Indonesia.
Selain berazam mempertahankan pingat emas dalam Sukma di Selangor tahun depan, misi Nurul Aisyah seterusnya ialah untuk mewakili Malaysia seterusnya dengan sasaran pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027.
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu kini memberi tumpuan sepenuh masa pada sukan tersebut dengan menjalani latihan pada setiap Isnin, Selasa, Rabu dan Jumaat serta latihan-latihan intensif lain.
Nurul Aisyah berkata, dia mula menceburi sukan angkat berat selepas mengikut jejak langkah kakak, Nurul Amirah,24, yang turut aktif dalam sukan tersebut selain sememangnya minat dengan sukan yang memerlukan teknik itu.
“Mungkin orang agak skeptikal yang beranggapan sukan angkat berat ini lasak, tidak bagus atau sesuai untuk golongan wanita dan pelbagai lagi, namun sebenarnya ia hanya memerlukan teknik yang betul dalam permainan untuk menggelakkan sebarang risiko.
“Sukan Sukma 2026, saya ingin mengekalkan pingat emas dan ke arah itu, saya akan terus berusaha selain menanam tekad mewakili negara mencapai pingat di Sukan SEA 2027 ketika Malaysia bakal menjadi tuan rumah,” katanya.
Selain itu katanya, kedua ibu bapa juga sentiasa menyokong minatnya dalam sukan berkenaan, sekali gus memberi kekuatan untuk terus melakukan yang terbaik.
“Ahli keluarga tidak pernah menghalang untuk saya terlibat dalam sukan angkat berat biarpun acara itu dianggap lasak dan keras. Dalam kami lima beradik, saya dan kakak ketiga sahaja yang aktif dalam sukan ini, malah ibu bapa kami sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Sementara itu, jurulatihnya, Mohd. Faiz berkata, Nurul Aisyah sentiasa memberikan komitmen terbaik dan mempunyai disiplin yang tinggi, sekali gus dapat meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
Katanya, Nurul Aisyah juga merupakan salah seorang atlet di bawah kendaliannya yang mempunyai potensi cukup besar untuk pergi lebih jauh dalam sukan tersebut.
“Kita berazam untuk terus menjadi ‘kilang’ dalam menghasilkan atlet berbakat dalam sukan angkat berat di negara ini termasuk melahirkan lebih ramai atlet wanita dalam sukan itu.
“Insya-Allah kita mahu badang wanita dari Perlis suatu hari nanti menjadi atlet yang pertama meraih pingat emas di Sukan Komanwel yang selama ini belum ada lagi atlit wanita menang pingat emas di sukan tersebut,” katanya. – UTUSAN










