Belum sah tapi sebelah kaki ke Sukan Komanwel

Belum sah tapi sebelah kaki ke Sukan Komanwel

Muhamad Aznil Bidin (tengah) menang pingat emas pada Kejohanan Komanwel di Ahmedabad, India kelmarin. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menjelaskan kejayaan Muhamad Aznil Bidin memenangi pingat emas pada Kejohanan Komanwel di Ahmedabad, India kelmarin masih belum mengesahkan kelayakannya untuk beraksi di Sukan Komanwel 2026.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan, setiap atlet bertanding perlu menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan kelayakan serta berada dalam kedudukan lapan terbaik keseluruhan.

Walaubagaimanapun, Ayub mengakui kedudukan Aznil itu sudah sebelah kaki layak menyertai Temasya Glasgow 2026 namun perlu menunggu senarai ranking keseluruhan yang akan dikeluarkan pada April 2026.

“Ikut amalan sebelum ini, satu kejohanan menang emas sudah layak ke Sukan Komanwel. Namun, kali ini ada syarat lain iaitu kena sertai sekurang-kurangnya dua kejohanan kelayakan dan kemudian berada dalam lapan terbaik.

“Tak boleh cakap Aznil sah layak ke Sukan Komanwel 2026 sebab kalau kejohanan kedua dia tak sertai risau batal kelayakannya itu. Dia sudah hampir, sebelah kaki ke Sukan Komanwel 2026,” katanya.

Kelmarin, Aznil menang pingat emas dalam kategori bawah 65 kilogram (kg) selepas membuat jumlah angkatan 297kg menewaskan wakil tuan rumah, Raja Muthupandi di tempat kedua manakala gangsa milik Morea Baru dari Papua New Guinea.

Tambah Ayub, selepas ini kontinjen angkat berat akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Forde, Norway pada 2 hingga 11 Oktober ini yang turut menjadi medan kelayakan ke Sukan Komanwel 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN