Sukan SEA: Udin idam emas angkat berat

Sukan SEA: Udin idam emas angkat berat

MUHAMMAD Hafizuddin Roslin (dua dari kiri) meraih pingat perak dalam Kejuaraan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad, India, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin mensasarkan untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Muhammad Hafizuddin, 21, atau lebih mesra disapa sebagai Udin berkata, buat masa ini, dia sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi saingan Sukan SEA di bawah kendalian ketua jurulatih angkat berat kebangsaan, Edmund Yeo Thian Chuan.

“Selain itu, saya turut menyertai beberapa kejohanan yang telah diatur sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Sukan SEA nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam Kejuaraan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad, India 24 Ogos lalu, Muhammad Hafizuddin tampil cemerlang membuktikan kemampuannya apabila berjaya menghadiahkan pingat perak buat negara.

Muhammad Hafizuddin meraih tempat kedua dengan merekodkan angkatan keseluruhan 340 kilogram (kg) dan ketinggalan di belakang pencabarnya, Braydon Kennedy dari Kanada yang membuat angkatan keseluruhan 347kg.

Muhammad Hafizuddin berkata, dia juga sedang fokus kepada proses pemulihan kecederaan di bahagian lutut yang telah lama dihadapinya kira-kira sejak lima tahun lepas.

“Insya-Allah, kecederaan ini sudah lama dan apa yang penting adalah untuk saya berlawan dengan sakit itu untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA nanti,” katanya.

Di samping itu, Muhammad Hafizuddin berkata, dia juga melihat negara yang akan memberi cabaran bagi acara angkat berat pada temasya Sukan SEA nanti adalah Thailand dan Indonesia.

Katanya, atlet angkat berat Indonesia, Rizki Juniansyah sebelum ini juga pernah memenangi pingat emas dalam acara angkat berat pada Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bagaimanapun saya optimis mampu memberi saingan kepada mereka dengan persiapan yang telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

“Malah dalam masa terdekat ini, saya juga akan menyertai kejohanan angkat berat peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kuantan, Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN