SEREMBAN: Mempunyai masalah pendengaran tidak menghalang seorang orang kurang upaya (OKU) yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng di sini mengejar cita-cita menjadi seorang doktor.
Usaha keras dalam pelajaran akhirnya membuahkan hasil buat Balqis Qariirah Mohamad Ashrulnizam, 18, apabila dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan meraih 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Balqis Qariirah berkata, dia memasang impian untuk menjadi doktor bagi membantu golongan yang senasib dengannya.
Menurutnya, minat terhadap bidang perubatan timbul selepas menjalani rawatan susulan setiap tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Saya mahu menjadi doktor kerana setiap tahun saya menjalani rawatan susulan di HCTM.
“Daripada situ saya terinspirasi melihat pakar dan doktor yang merawat saya, sekali gus menimbulkan keinginan untuk membantu orang lain yang senasib dengan saya,” katanya ketika ditemui di SMK Dato’ Klana Putra, Lenggeng di sini semalam.
Balqis Qariirah yang mesra disapa Balqis berkata, kekurangan yang dialam dianggapnya sebagai satu kelebihan kerana membantunya memberi tumpuan lebih baik ketika berada di dalam kelas.
“Saya akan duduk di bahagian hadapan kelas dengan telinga dominan menghadap guru.
“Dengan cara itu saya dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajaran guru tanpa terganggu dengan bunyi bising rakan-rakan di belakang,” katanya.
Menurutnya, selain memberi perhatian ketika guru mengajar, dia juga akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.
Malah katanya, dia turut membantu mengajar rakan-rakan yang lain kerana kaedah itu dapat mengukuhkan lagi pemahamannya terhadap sesuatu mata pelajaran.
Lebih menarik, Balqis Qariirah turut mengambil mata pelajaran Tasawur al-Quran dan mempelajarinya sendiri dengan merujuk bahan pembelajaran di YouTube selain mendapatkan bimbingan guru.
Ibunya, Fahimahhaizom Muhamad Fauzi, 43, pula berkata, anak sulungnya itu gemar bermain permainan video namun bijak membahagikan masa antara belajar dan berehat.
“Kalau ada orang datang ke rumah, mereka nampak dia banyak bermain permainan video, jadi mereka terkejut apabila tahu dia memperoleh keputusan cemerlang.
“Sebenarnya dia tahu membahagikan masa. Bila mahu belajar, dia akan belajar dan bila mahu berehat, dia akan berehat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalida Omar berkata, pencapaian Balqis Qariirah membuktikan pihaknya sentiasa memastikan pelajar berkeperluan khas diberikan perhatian sewajarnya agar proses pembelajaran mereka tidak terganggu.
“Kami tidak membezakan antara pelajar biasa dan pelajar yang mempunyai keperluan khas.
“Kami sentiasa berusaha memastikan mereka selesa serta mendapat peluang pendidikan yang sama seperti pelajar lain,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Klana Putra, Mohamad Zaini Khalid berkata, pencapaian Balqis Qariirah amat membanggakan kerana menjadikannya murid berkeperluan khas (MBK) pertama di sekolah tersebut yang berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM. – UTUSAN










