Kukuhkan pendidikan sistem Braille

Kukuhkan pendidikan sistem Braille

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan industri digesa supaya terus memperkukuhkan pendidikan sistem Braille bermula dari peringkat awal kanak-kanak hingga pengajian tinggi.

Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mohd. Mustaza Mohd. Zin berkata, kajian serta pengalaman menunjukkan individu orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang mahir Braille mempunyai tahap pencapaian pendidikan lebih tinggi.

Golongan itu juga katanya mendapat peluang pekerjaan lebih luas serta kebebasan hidup lebih baik berbanding mereka yang tidak menguasainya.

“SBM menyeru kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan industri supaya memperkukuh pendidikan Braille bermula dari peringkat awal kanak-kanak hingga pengajian tinggi.

“Selain ketersediaan buku teks Braille, bahan pembelajaran, papan tanda dan maklumat awam yang mesra OKU penglihatan perlu dipertingkat, di samping memperluaskan akses kepada paparan Braille,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Braille Sedunia 2026 hari ini.

Mohd. Mustaza berkata, Braille bukan sekadar sistem membaca dan menulis, sebaliknya menjadi tonggak kepada literasi, maruah diri serta penyertaan saksama OKU penglihatan dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan kehidupan berdikari.

Katanya, penguasaan Braille terbukti membantu membangunkan kemahiran literasi dan numerasi yang kukuh, selain membuka akses kepada pengetahuan teknikal serta profesional yang penting bagi akademik dan kerjaya.

“Dalam konteks dunia digital yang semakin berkembang, teknologi seperti perisian pembaca skrin dan alat audio perlu berperanan sebagai pelengkap, bukannya pengganti kepada literasi Braille,” katanya.

Menurut beliau, dasar dan pembiayaan yang inklusif perlu diperkasakan bagi menyokong latihan serta literasi Braille serta meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa Braille adalah satu hak dan bukannya keistimewaan.

Katanya, ia selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keterangkuman dan keadilan sosial, Braille merupakan hak asasi manusia seperti termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak OKU (CRPD).

“Sempena sambutan Hari Braille Sedunia, semua pihak perlu memberikan komitmen untuk memperkasa OKU penglihatan melalui Braille bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN