KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuka akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran China menerusi kerjasama strategik bersama Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM).
Kerjasama strategik itu membuka peluang kepada pembangunan sehingga 2,000 bakat berteknologi tinggi menerusi inisiatif berimpak tinggi termasuk penubuhan Malaysia-China Institute (MCI).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, platform kerjasama berkenaan menjadi medium penting untuk memperluas jaringan perniagaan usahawan Mara di peringkat antarabangsa terutama menerusi inisiatif Gate to Global (GTG).
Katanya, penglibatan di peringkat global dilihat sebagai keperluan bagi memastikan usahawan tempatan terus kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
“Kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan. Kami juga terlibat secara aktif dalam membangunkan usahawan serta turut aktif dalam pelaburan.
“Sebab itulah dengan bekerjasama dengan Mara, ia boleh menjadi jambatan kepada pelbagai sektor dan syarikat lain yang beroperasi dalam sektor masing-masing,” katanya berucap sempena Sesi Jaringan Strategik Perniagaan Mara-CECCM, di sini hari ini.
Program itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pengurusan Mara, kepimpinan CECCM, usahawan Mara serta ahli perniagaan dari kedua-dua negara bagi meneroka peluang kerjasama strategik.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform penting untuk memadankan potensi kerjasama perniagaan selain mengukuhkan hubungan antara komuniti perniagaan Malaysia dan China dalam pelbagai sektor industri.
Tambah Asyraf Wajdi, kerjasama itu membuka ruang kepada Mara untuk memainkan peranan lebih aktif dalam meneroka serta memanfaatkan peluang perniagaan bersama syarikat dari China merangkumi pelbagai sektor industri.
“Sebab itulah penglibatan seperti ini sangat penting. Bukan sahaja kita cuba mencari peluang untuk Mara terlibat secara aktif dan langsung dalam sebarang peluang kerjasama, tetapi kita juga menjemput usahawan Mara serta komuniti perniagaan berkaitan untuk turut terlibat dalam perbincangan.
“Bukan sahaja dalam bentuk peluang perniagaan, tetapi juga dari segi set kemahiran yang diperlukan serta modal insan yang diperlukan untuk menyokong industri-industri berkenaan.
“Sebab itu saya fikir kita perlu mengambil peluang dan memanfaatkan pertemuan hari ini bukan sahaja untuk memperluaskan rangkaian hubungan, tetapi juga untuk melihat secara serius peluang yang boleh kita terokai dan tingkatkan khususnya antara Mara dan CECCM,” katanya. – UTUSAN









