Malam Legasi Adibah Amin raih dana hampir RM100,000

Malam Legasi Adibah Amin raih dana hampir RM100,000

CHE Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff (tengah), menyempurnakan pelancaran buku As I Was Passing – Legacy Edition sempena Malam Legasi Adibah Amin di The Majestic Hotel, di sini, semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malam Legasi Adibah Amin berjaya meraih dana hampir RM100,000 bagi menyokong keperluan rawatan berpanjangan tokoh wartawan negara, Adibah Amin yang kini tidak lagi mampu berjalan selepas diserang strok sejak dua tahun lalu.

Fadzilah Amin yang merupakan adik kepada Adibah berkata, sokongan tidak putus daripada semua pihak dalam menghargai legasi Adibah amat dihargai walaupun kakaknya tidak dapat hadir berikutan masalah kesihatan.

Katanya, kakaknya sudah terlantar selama dua tahun dan sejak beberapa hari kebelakangan ini, keadaannya semakin lemah sehingga sukar untuk bergerak, malah duduk di kerusi roda untuk beberapa minit juga memberi tekanan kepadanya.

“Saya berharap semua memahami ketidakhadirannya. Terima kasih kepada semua yang hadir bagi menghargai dan menyokong beliau,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Hotel Majestic, di sini, semalam.

Majlis dihadiri hampir 500 rakan terdekat Adibah itu disempurnakan oleh Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Adibah, 90, yang juga anak sulung kepada Allahyarham Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain, merupakan seorang penulis, pengarang dan penterjemah prolifik yang menguasai Bahasa Melayu dan Inggeris dengan cemerlang.

Beliau juga sinonim dengan watak Cikgu Bedah dalam filem komedi arahan Othman Hafsham, Adik Manja.

Sepanjang kerjayanya, Adibah pernah berkhidmat sebagai pengarang di The Star dan New Straits Times, selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Kumpulan Berita Harian.

Sebelum dikenali sebagai wartawan, Adibah memulakan kerjayanya sebagai seorang guru pada tahun 1958.

Ketika itu, Adibah yang berusia 22 tahun ditempatkan di Malay Girls’ College, Kuala Lumpur (kini Kolej Tunku Kurshiah).

Pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai Guru Besar di Sekolah Seri Puteri sebelum meneruskan khidmat sebagai pensyarah di Maktab Bahasa (kini Institut Bahasa), Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, buku As I Was Passing – Legacy Edition yang menghimpunkan koleksi penulisan Adibah turut dilancarkan dengan cetakan terhad sebanyak 1,000 naskhah. Buku berkenaan dijual secara tertutup dan boleh dibeli menerusi email ke [email protected].

Ia menampilkan karya Adibah yang belum pernah diterbitkan, gambar eksklusif dan tandatangan beliau.

Sementara itu semua sumbangan yang diterima pada malam tersebut akan diurus bagi memastikan keperluan rawatan perubatan serta penjagaan hariannya terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN