LONDON: Liverpool mengharapkan ‘magis Anfield’ mampu menghidupkan peluang ke separuh akhir apabila bakal berdepan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, esok.
Kekalahan 0-2 pada aksi pertama di Parc des Princes meletakkan The Reds dalam tekanan, sekali gus menjadikan saingan Eropah sebagai satu-satunya peluang meraih trofi musim ini selepas prestasi hambar di pentas domestik.
Skuad kendalian Arne Slot kini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selain tersingkir awal dalam Piala Liga dan Piala FA.
Bagaimanapun, kapten Virgil Van Dijk percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu mencetuskan kebangkitan luar biasa.
“Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk mencipta malam istimewa. Kami bermain di Anfield dan perlu percaya kami mampu melakukannya,” katanya.
Namun kali ini, cabaran lebih getir menanti dengan PSG tampil lebih dominan dalam aksi pertama.
Dalam pada itu, Slot mengakui sokongan penyokong bakal menjadi kunci utama menjelang aksi timbal balik itu.
“Anfield telah membuktikan banyak kali ia mampu mengangkat prestasi pasukan ke tahap berbeza. Kami perlukan sokongan itu sekali lagi,” katanya.
Walaupun mencatat kemenangan 2-0 ke atas Fulham baru-baru ini, ia belum cukup untuk meredakan tekanan yang memuncak.-AGENSI










