JOHOR BAHRU: Kuala Lumpur (KL) City FC kini memburu gelaran naib juara Liga Super selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 1-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengendalinya, Risto Vidakovic berkata, aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT kelmarin tidak memberi makna kepada The City Boys apabila sedar mustahil untuk bangkit setelah tewas 0-4 dalam aksi pertama di Cheras.
Menurutnya, fokus KL City kini terarah kepada misi mengutip tiga mata menentang Kelantan The Real Warriors (TRW), esok.
“Peluang untuk memburu tempat kedua liga masih terbuka susulan perbezaan mata antara kami, Kuching City FC dan Selangor FC adalah rapat. Bezanya Kuching City ada kelebihan iaitu kurang satu perlawanan.
“Kami perlu memenangi semula baki perlawanan bagi mengutip mata penuh. Ini adalah tugas saya dan setiap pemain kerana kami beraksi untuk lencana di dada,” katanya.
Menurut pengendali kelahiran Bosnia-Herzegovina itu, ketiadaan beberapa pemain yang tidak bersama pasukan menyaksikan KL City menyaksikan pasukan kini berdepan prestasi terumbang-ambing.
“Situasi ini menyebabkan sukar untuk kami melakukan penggiliran pemain kerana faktor kepenatan yang menjejaskan persembahan pasukan. Apapun, anak buah saya memahami situasi ini dan kami akan terus bangkit untuk aksi seterusnya walaupun berdepan kerumitan,” katanya.-UTUSAN










