BUKIT JALIL: Pelakon, Irfan Zaini, menyeru individu yang mengambil minuman beralkohol supaya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan tidak memandu dalam keadaan mabuk, sebaliknya menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumah.
Menurut Irfan, insiden kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa individu tidak bersalah kini semakin membimbangkan.
“Memang menyedihkan apabila melihat perkara seperti ini terus berlaku. Apa yang ingin saya tekankan, jika seseorang itu mahu minum, jangan memandu untuk pulang ke rumah, sebaliknya gunakan perkhidmatan e-hailing.
“Jangan sesekali membahayakan pengguna jalan raya lain. Memandu dalam keadaan mabuk amat berisiko.
“Akibat kecuaian seseorang, orang lain pula menjadi mangsa. Lebih menyedihkan apabila mangsa merupakan seorang bapa yang mempunyai keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem Terbang di Hotel Kingston, di sini, semalam.
Dalam pada itu, pelakon Blood Brothers itu turut menasihati orang ramai agar memainkan peranan dengan menegur rakan-rakan yang berada di bawah pengaruh alkohol supaya tidak memandu.
“Pesanan saya, jika anda melihat rakan-rakan minum, nasihatkan mereka agar tidak memandu selepas itu. Gunakanlah perkhidmatan e-hailing.
“Atau bantu mereka pulang ke rumah dengan selamat. Jangan sesekali membenarkan individu yang mabuk memandu kenderaan sendiri,” katanya. -UTUSAN










