Ibu tunggal mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik hina institusi diraja

Ibu tunggal mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik hina institusi diraja

NURUL Huda Mohd. Bajuri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap institusi diraja melalui platform media sosial, akhir bulan lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap institusi diraja melalui platform media sosial, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Huda Mohd. Bajuri membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di TikTok dan Instagram menggunakan akaun bernama Ratu Putri Ratu Balqis dengan niat untuk mengganggu orang lain di mana kesalahan itu disedari pihak ketiga di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak Susur 7, pada pukul 4 petang, 27 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya selain boleh juga dikenakan denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Antara kenyataan dimuat naik wanita berkenaan termasuk ‘saya adalah insan yang merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 iaitu Sultan Ibrahim, termasuk para sultan di Malaysia’ dan “tetapi sultan di Malaysia dan Brunei mereka itu tetap sial, celaka dan durjana’.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Afdhallan Syafiq Azmi meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mewakili tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri bagaimanapun meminta mahkamah memberikan jaminan lebih rendah terhadap tertuduh yang bekerja sebagai seorang penasihat.

“Orang kena tuduh merupakan seorang ibu tunggal dan berpendapatan RM3,000 sebulan. Tertuduh menjaga seorang anak sendiri selepas berpisah dengan bekas suaminya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain turut menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mohd. Azhar turut meminta tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Selasa lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki dan wanita dewasa selain seorang remaja perempuan bersabit hantaran media sosial yang dipercayai mengandungi unsur hasutan, fitnah dan menghina agama Islam, perdana menteri serta institusi diraja.

Beliau dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 49 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN