PETALING JAYA: Sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan merupakan perkembangan baik untuk parti-parti berasaskan orang Melayu untuk duduk bersama.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun, sokongan untuk duduk bersama itu tidak boleh dijalankan bagi menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’ di negeri terbabit.
Sebaliknya, beliau kekal dengan prinsipnya iaitu mengajak kerjasama dalam kalangan parti-parti Melayu di dalam pilihan raya supaya mandat dapat diserahkan kepada rakyat bagi memilih wakil rakyat mereka.
“Prinsip saya jelas, malah telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan sebelum ini. UMNO tarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tetapi bukan untuk menebuk atap dan gila jawatan, kita tarik sokongan atas sebab tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kita menghormati mandat rakyat sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah, jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara tebuk atap,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Pada masa sama, Dr. Akmal yang juga ADUN Merlimau menemplak sikap berat sebelum penyokong parti-parti politik tertentu yang tidak adil dalam mendepani kemelut politik di Perlis dan Negeri Sembilan.
Katanya, dalam krisis pertukaran Menteri Besar di Perlis, ramai penyokong parti politik tertentu marah malah Adun Pas yang menyokong menukarkan kepimpinan Kerajaan Negeri juga dipecat daripada parti.
“Ada juga yang minta agar Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan sebagai tanda protes tindakan menebuk atap yang dilakukan oleh Adun-Adun mereka di Perlis. Cacian dan makian atas tindakan tebuk atap itu jangan dikira, bergunung dimaki oleh penyokong mereka.
“Tetapi apabila krisis di Negeri Sembilan berlaku lain pula nadanya, apabila saya menyatakan tidak bersetuju tindakan tebuk atap, maka berbondong makian diberikan kepada saya,” katanya.
Beliau kekal dengan prinsipnya sejak dahulu iaitu untuk UMNO menarik sokongannya daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang yang bermaruah atau menghadapi pilihan raya bukannya dengan menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’. – UTUSAN










