GAZA: Doktor Tanpa Sempadan (MSF) memberi amaran pihak berkuasa Israel secara sistematik menyekat akses air kepada penduduk Gaza, dalam kempen yang disifatkan sebagai ‘hukuman kolektif’ terhadap rakyat Palestin.
Menurut organisasi perubatan antarabangsa itu, kemusnahan meluas terhadap infrastruktur air awam di Gaza, termasuk sekatan akses bekalan air, merupakan sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai Israel.
Dalam laporan bertajuk ‘Air sebagai Senjata’, MSF berkata, kekurangan air yang dirancang itu berlaku seiring dengan pembunuhan orang awam, kemusnahan kemudahan kesihatan serta pemusnahan rumah.
Secara keseluruhan, keadaan itu merupakan pelaksanaan secara sengaja keadaan hidup yang memusnahkan dan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin di Gaza, menurut laporan berkenaan berdasarkan keterangan serta data yang dikumpul MSF pada 2024 dan 2025.
“Pihak berkuasa Israel tahu bahawa tanpa air, kehidupan akan terhenti.
“Namun mereka secara sengaja dan sistematik memusnahkan infrastruktur air di Gaza, sambil secara berterusan menghalang kemasukan bekalan berkaitan air,” kata pengurus kecemasan MSF, Claire San Filippo dalam satu kenyataan.
Walaupun gencatan senjata Oktober yang sebahagian besarnya menghentikan perang Gaza yang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 2023, wilayah itu masih dilanda keganasan harian apabila serangan Israel berterusan dan kedua-dua pihak tentera Israel serta Hamas saling menuduh melanggar gencatan senjata.
Laporan MSF turut memetik data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia yang menunjukkan Israel memusnahkan atau merosakkan hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi di Gaza.
“Loji penyahgaraman, telaga, saluran paip dan sistem kumbahan dijadikan tidak berfungsi atau tidak dapat diakses,” menurut laporan itu.
Badan amal itu mendokumentasikan beberapa insiden di mana trak air dan telaga yang jelas dikenal pasti milik mereka telah ditembak atau dimusnahkan.
“Rakyat Palestin telah cedera dan terbunuh hanya kerana cuba mendapatkan air,” kata San Filippo.
Badan amal itu berkata, selain pihak berkuasa tempatan, ia merupakan pengeluar terbesar serta pengedar utama air minuman di Gaza.
Pada Mac, ia membekalkan lebih 5.3 juta liter air setiap hari, yang memenuhi keperluan minimum lebih 407,000 orang, atau kira-kira satu perlima daripada populasi Gaza.
“Namun sepanjang perang, arahan pemindahan oleh tentera Israel menghalang pasukan kami daripada memasuki kawasan di mana kami sebelum ini membekalkan air kepada ratusan ribu orang,” menurut kenyataan MSF.
MSF berkata, satu pertiga daripada permintaan mereka untuk membawa masuk bekalan kritikal air dan sanitasi, termasuk unit penyahgaraman air, pam, tangki air, penghalau serangga, klorin serta bahan kimia lain untuk merawat air, ‘ditolak atau tidak dijawab’.
San Filippo turut memberi amaran kekurangan air, digabungkan dengan keadaan hidup yang teruk, kepadatan penduduk yang melampau dan sistem kesihatan yang runtuh, mewujudkan situasi sempurna untuk penularan penyakit.
MSF menggesa Israel supaya segera memulihkan bekalan air pada tahap yang diperlukan untuk penduduk di Gaza.
Ia turut menyeru sekutu Israel agar menggunakan pengaruh mereka untuk menekan Israel supaya berhenti menghalang akses kemanusiaan.- AFP










