LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui tempat Phil Foden ke Piala Dunia masih belum terjamin selepas beraksi hambar dalam beberapa siri persahabatan.
Kekalahan 0-1 kepada Jepun dalam aksi persahabatan pada Selasa lalu menyaksikan Foden bergelut di posisi bukan kebiasaan sebagai penyerang, susulan ketiadaan Harry Kane.
Walaupun mempamerkan prestasi memberangsangkan di kem latihan, Tuchel mengakui pemain berusia 25 tahun itu gagal menerjemahkan momentum tersebut di atas padang.
“Dia cuba segalanya. Di kem latihan dia sangat cemerlang, tetapi di perlawanan sebenar dia masih bergelut untuk memberi impak penuh,” kata Tuchel.
Situasi itu diburukkan lagi apabila Foden kini bukan lagi pilihan utama di bawah kendalian Pep Guardiola bersama Manchester City.
Lebih merisaukan, prestasi tidak konsisten di pentas antarabangsa terus menghantui Foden, termasuk ketika kempen UEFA Euro 2024 meskipun hadir sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
Persaingan sengit turut menanti apabila pemain seperti Jude Bellingham, Cole Palmer dan Morgan Rogers semakin menyerlah untuk mengisi posisi tengah menyerang.
“Tiada jaminan dia akan bersama kami ke Piala Dunia,” tegas Tuchel lagi.
Dalam masa sama, Tuchel tetap optimis England mampu menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1966, walaupun keputusan semasa kurang memberangsangkan termasuk seri 1-1 dengan Uruguay.
“Kami tidak akan lepaskan impian ini. Kenapa tidak? Itu persoalan yang akan terus kami pegang,” katanya.-AGENSI










