Adik Raja England ditangkap sebelum dibebaskan - Utusan Malaysia

Adik Raja England ditangkap sebelum dibebaskan

ANDREW ditangkap polis selama beberapa jam. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON –  Keluarga diraja Britain dilanda krisis semalam selepas Andrew Mountbatten Windsor yang sebelum ini gelaran puteranya dilucutkan ditangkap polis selama beberapa jam sebelum dibebaskan.

Ia merupakan satu tamparan kepada institusi monarki yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Britain.

Tokoh diraja yang tercemar reputasinya itu ditahan  atas syak wasangka salah laku berkaitan hubungannya dengan pesalah seks Amerika Syarikat (AS) yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.

Ketika Andrew menyambut ulang tahun kelahiran ke-66, polis menyerbu estet diraja terpencil Sandringham di timur England sekitar pukul 8 pagi waktu tempatan.

Raja England, Raja Charles III, yang berjanji memberi sokongan penuh Istana Buckingham kepada polis, segera mengeluarkan kenyataan peribadi yang jarang ditandatangani sendiri dengan menegaskan: “Undang-undang mesti berjalan sebagaimana sepatutnya.”

Ia merupakan penghinaan terbaharu buat Andrew, yang tahun lalu dilucutkan gelaran dan diusir dari kediamannya di Windsor yang didiaminya lebih dua dekad.

Polis Thames Valley berkata dalam kenyataan: “Lelaki yang ditahan itu kini telah dibebaskan di bawah siasatan.”

Sekeping gambar yang diterbitkan media menunjukkan Andrew duduk di tempat duduk belakang sebuah kereta, memandang ke hadapan dengan mata terbeliak.

Walaupun carian polis terdahulu di Norfolk kini telah selesai, mereka masih menggeledah sebuah hartanah di Berkshire, tambah polis. Ia dipercayai kediaman Andrew, Royal Lodge.

“Ia detik yang sangat penting bagi monarki Britain, dan juga negara,” kata pakar diraja, Ed Owens kepada AFP.

“Kita sedang menyaksikan sebuah monarki yang, pada pandangan saya, digoncang oleh peristiwa terkini,” tambahnya.

Sebelum ini, Polis Thames Valley berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia enam puluhan dari Norfolk atas syak salah laku dalam jawatan awam  tanpa menamakan suspek seperti amalan biasa di Britain. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN