LONDON: Pengurus England, Thomas Tuchel melakukan rombakan pasukannya apabila menyingkirkan lapan pemain menjelang aksi persahabatan menentang Jepun, esok.
Ia susulan aksi hambar England ketika seri menentang Uruguay, sekali gus menyaksikan Tuchel semakin hampir memuktamadkan senarai pemain bagi menghadapi Piala Dunia.
Sebelum ini, Tuchel memanggil seramai 35 pemain sebagai persediaan terakhir untuk menilai prestasi, namun jumlah itu dikurangkan kepada 27 pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Tiga pemain Arsenal, Bukayo Saka, Declan Rice dan Noni Madueke meninggalkan kem susulan masalah kecederaan begitu juga pertahanan Manchester City, John Stones dan Adam Wharton atas sebab yang sama.
Turut meninggalkan kem ialah penjaga gol Aaron Ramsdale, pertahanan Fikayo Tomori serta penyerang Dominic Calvert-Lewin, namun punca pengguguran mereka tidak diperincikan.
Beberapa pemain utama seperti Harry Kane dan Anthony Gordon kembali menyertai kem selepas direhatkan sebelum ini.
Tindakan drastik Tuchel itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa setiap pemain berada di bawah tekanan tinggi untuk merebut tempat dalam skuad akhir Piala Dunia.
Dengan penyingkiran lapan pemain tersebut, harapan Harry Maguire untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama masih sukar apabila Tuchel mendedahkan pertahanan Manchester United itu sekadar menjadi pilihan kelimanya.
“Dia bermain seperti yang saya jangkakan tetapi saya melihat ada pemain lain yang lebih sesuai untuk diturunkan ketika ini,” katanya. – AFP/UTUSAN










