PARIS: Penyanyi, Celine Dion mengumumkan kepulangannya ke dunia persembahan, empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit neurologi, Stiff Person Syndrom.
Dion, menerusi video yang dimuat naik dalam laman Instagramnya memaklumkan bakal menggegarkan Paris La Defense Arena menerusi 10 persembahan pada September dan Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas sambutan ulang tahunnya yang ke-58. Penyanyi bertaraf legenda itu menyifatkan kepulangannya ke dunia persembahan sebagai hadiah paling bermakna sepanjang hidup.
“Saya sudah bersedia untuk melakukannya. Saya kuat, teruja dan tentunya gemuruh,” katanya.
Mengulas tentang status kesihatannya, Dion memaklumkan keadaannya beransur pulih dan mampu mengendalikan penyakit yang dihadapi dengan baik.
“Saya sihat, mampu untuk kembali menyanyi dan sudah boleh menari.
“Tapi seperkara yang sangat penting yang perlu anda tahu, yang membantu saya mengharungi fasa sukar ini adalah doa dan kata-kata semangat yang saya terima daripada anda semua.
“Saya bersyukur dan tidak sabar untuk bertemu anda semua nanti,” ujarnya. – UTUSAN










