PUTRAJAYA: Cuaca lebih panas yang melanda Malaysia ketika ini dijangka menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik, terutamanya melibatkan kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, peningkatan penggunaan elektrik itu terutamanya kerana penyaman udara dan sistem penyejukan rumah yang dijangka digunakan dengan lebih kerap.
“Perkara lain yang menjadi perhatian kami dan ini juga melibatkan faktor luaran ialah kita akan memasuki musim yang lebih panas. Bagi Malaysia, ini bermakna permintaan elektrik dijangka mula meningkat. Kami menjangkakan perkara ini biasanya akan berlaku pada bulan Mei.
“Pada bulan Mei nanti, disebabkan cuaca yang lebih panas, terutamanya di kediaman, penggunaan penyaman udara dan sistem penyejukan dijangka meningkat dengan lebih kerap.
“Keadaan ini sebenarnya akan menyebabkan tekanan ke atas sistem jika penggunaan meningkat dengan banyak dan ia perlu diketahui dan diberi perhatian oleh orang ramai,” katanya ketika membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026 di sini hari ini.
Pada 25 Mac lalu, media melaporkan, fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung. – UTUSAN










