JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk dua warga asing dikenakan denda RM2,800 dan keseluruhan 16 jam Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini gara-gara membuang sampah kecil merata-rata, Januari lalu.
Orang kena saman (OKS), Mohd. Sofian Misban, 34, serta warga India, Sinha Vaibhav, 40, dan warga Nepal, Bharat Bahadur, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Sofian telah membuang satu puntung rokok di Tapak Parkir Hentian Rehat dan Rawat Arah Selatan (Kulai), Kulai, pada pukul 4.40 petang, 27 Januari lalu.
Sementara itu, Sinha dirakam telah membuang tin minuman di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Serigala, Taman Abad, di sini, pukul 5.48 petang, 14 Januari, manakala Bharat pula dilihat telah membuang puntung rokok di Taman Bintang Utama, Kulai, pada pukul 12.15 tengah hari, 1 Januari lalu.
Semua OKS didakwa mengikut subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan PKM mengikut subseksyen 77B (1) Akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 kepada Mohd. Sofian selain perlu menjalani PKM selama enam jam, manakala Sinha dan Bharat masing-masing didenda RM1,000 dan perlu menjalani tempoh PKM selama empat dan enam jam dalam tempoh enam bulan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Rubiah Maulud manakala ketiga-tiga individu itu tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya telah mengeluarkan 153 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan sampah kecil membabitkan 92 warganegara tempatan dan 61 bukan warganegara. – UTUSAN










