Dadah lebih RM7 juta di tepi pantai

Dadah lebih RM7 juta di tepi pantai

YAHAYA Othman (kanan) menunjukkan sebahagian dadah dipercayai jenis kokain yang ditemukan terdampar di Pantai Tanjung Gosong, Kuala Selangor, Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah beg mengandungi dadah jenis kokain seberat lebih 16 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM7.31 juta ditemuka terdampar di persisiran Pantai Tanjung Gosong, Tanjung Selangor, Pekan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penemuan itu selepas polis menerima maklumat awam berhubung sebuah beg mencurigakan yang ditemukan di kawasan pantai berkenaan kira-kira pukul 2.45 petang. 

Katanya, pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang terhadap beg tersebut menemukan sebanyak 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertulis ‘Stone’ yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain dengan anggaran berat keseluruhan 16.263 kg. 

“Turut ditemukan enam lagi bungkusan berwarna hitam dengan tulisan sama namun isi kandungannya telah terlarut dipercayai akibat berada lama di dalam air laut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini, hari ini. 

Beliau berkata, jumlah nilai pasaran kokain yang dirampas dianggarkan sebanyak RM7,318,350 berdasarkan harga semasa iaitu sekitar RM450,000 bagi setiap kilogram. 

Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai mampu menjejaskan sehingga 81,315 penagih sekiranya diedarkan dalam pasaran. 

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh JSJN Kontinjen Pahang bagi mengesan pihak yang terlibat, selain tindakan merakam percakapan saksi turut dilakukan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azhar Ahmad di talian 09-4221222 atau Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN