PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarah menjalankan siasatan berhubung kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya memandang serius insiden kerosakan BHS yang menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba di lapangan terbang berkenaan.
Katanya, kesulitan yang dialami penumpang akibat gangguan itu amat dikesali.
“Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai.
“Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria ini.
“CAAM telah diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berupa hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan supaya mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada pagi esok.
“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.
Sebagai pintu masuk utama negara, beliau berkata, lapangan terbang berkenaan tidak seharusnya berdepan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB selaku pengendali KLIA perlu dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan itu.
Katanya, selain langkah pemulihan segera, insiden berkenaan menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada tahap yang lebih serius.
“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.
“Standard yang kita (sektor penerbangan) tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan, dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.
“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” katanya. – UTUSAN










