GEORGE TOWN : Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan menjadi lapangan terbang pertama di negara ini yang menggunakan teknologi ‘Remote Digital Virtual Tower’ (RDVT) bermula pertengahan bulan depan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, RDVT merupakan sebahagian daripada rancangan projek pembesaran LTAPP di bawah Pakej Kerja Pertama (WP1) yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini dengan peruntukan berjumlah lebih RM107 juta.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, selaku menara kawalan trafik termaju di Malaysia, RDVT dilengkapi dengan 16 kamera canggih yang akan turut menyiarkan secara langsung penerbangan keluar masuk LTAPP dari bangunan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di sini.
“Maknanya, dari pusat kawalan trafik udara di sini, kita akan dapat lihat keadaan LTAPP secara keseluruhannya dan teknologi ini juga boleh disambungkan secara terus ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
“Saya difahamkan, Pulau Pinang (LTAPP) adalah yang pertama akan menggunakan teknologi ini sebelum ia dipasang di Johor (Lapangan Terbang Antarabangsa Senai) dan beberapa lapangan terbang lain secara berperingkat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau keadaan semasa di LTAPP serta kemudahan teknologi RDVT di pejabat CAAM di sini, hari ini.
Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf serta membina beberapa bangunan tambahan di bawah WP1 seperti RDVT, pejabat CAAM, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) serta pos kawalan Bahagian Keselamatan Penerbangan (Avsec) ketika ini telah melebihi 98 peratus tahap kemajuan.
Dalam pada itu, Tze Tzin memberitahu, LTAPP kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi satu hab logistik yang sangat penting bagi industri semikonduktor di seluruh dunia.
Situasi itu secara tidak langsung katanya, akan turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri dan negara ke arah yang lebih baik pada masa depan.-UTUSAN










