TUMPAT: Gangguan bekalan petrol RON95 melibatkan beberapa stesen minyak Caltex di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sejak petang kelmarin mula memberi kesan kepada operasi peruncit di kawasan berkenaan.
Pengurus stesen minyak Caltex Wakaf Bharu, Ku Muhamad Farid Aidil Ku Din berkata, kekurangan bekalan menyebabkan pihaknya kini hanya mampu menawarkan petrol RON97 kepada pelanggan, sekali gus meningkatkan kos kepada pengguna harian.
Katanya, stesen berkenaan hanya menerima 5,000 liter bekalan RON95 Jumaat lalu, jauh lebih rendah berbanding kebiasaan sekitar 14,000 liter.
“Dengan jumlah terhad ini, bekalan tidak dapat menampung permintaan tinggi terutama penduduk setempat.
“Situasi ini memberi tekanan kepada operasi harian kami selain menjejaskan pilihan pengguna yang bergantung kepada RON95 sebagai bahan bakar utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pengurus stesen minyak, Mohamed Rusdi Md. Nasir berkata, premisnya turut berdepan situasi sama namun masih mempunyai baki stok sekitar 20,000 liter buat masa ini.
Katanya, walaupun bekalan sedia ada masih mampu menampung permintaan dalam tempoh terdekat, ketidaktentuan rantaian bekalan boleh memberi implikasi lebih besar jika berlarutan. – UTUSAN










