PETALING JAYA: Golongan wanita bukan hanya menguruskan keluarga semata-semata, sebaliknya turut menyumbang dalam memajukan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di sebalik kekuatan tersebut, golongan wanita juga menjadi nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara.
Beliau turut berkongsi penghargaan kepada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa sempena Hari Wanita Antarabangsa.
“Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri, khususnya Azizah serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini.
“Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mengajak rakyat bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita.
“Serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” katanya lagi. – UTUSAN










