PETALING JAYA: Malaysia perlu melaksanakan perubahan yang lebih tegas dan menyeluruh dalam usaha memperkasakan wanita serta kanak-kanak perempuan selaras dengan semangat Hari Wanita Antarabangsa yang disambut setiap tahun, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Setiausaha Kehormat Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (MARTABAT PJ), Elizabeth Chrisostom berkata, tema sambutan tahun ini menekankan aspek hak, keadilan dan tindakan untuk semua wanita serta kanak-kanak perempuan, menjadi peringatan bahawa perjuangan mencapai kesaksamaan gender masih belum selesai.
Beliau berkata, sambutan Hari Wanita Sedunia tidak seharusnya sekadar menjadi acara simbolik sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada tindakan kukuh bagi memastikan hak wanita terus diperkasa.
“Bukan sekadar simbolik semata-mata sebaliknya ia merupakan peringatan bahawa perjuangan untuk keadilan, keselamatan dan kesaksamaan wanita di Malaysia masih belum selesai,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, statistik nasional berkaitan keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan menunjukkan trend yang membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
“Serangan seksual terhadap kanak-kanak meningkat daripada 1,147 kes kepada 1,389 kes dalam tempoh setahun, manakala polis turut merekodkan 1,590 kes rogol melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur.
“Statistik keganasan seksual yang semakin meningkat terhadap kanak-kanak perempuan adalah satu amaran keras bahawa sistem perlindungan kita masih belum konkrit,” katanya.
Elizabeth berkata, data penguatkuasaan undang-undang juga menunjukkan kira-kira 70 peratus kes jenayah seksual di Malaysia melibatkan mangsa kanak-kanak termasuk kanak-kanak yang sangat muda.
“Kanak-kanak perempuan berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada eksploitasi seksual sama ada di dunia nyata mahupun digital.
“Sebahagian kes tersebut turut dikaitkan dengan aktiviti pengantunan seksual (grooming) dalam talian melalui platform media sosial yang semakin membimbangkan,” katanya. – UTUSAN










