Speedy Tigers dibaham England, peluang ke Piala Dunia samar

Speedy Tigers dibaham England, peluang ke Piala Dunia samar

Kekalahan memeritkan itu menyaksikan Malaysia kini terpaksa mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga bagi menghidupkan peluang meraih tiket automatik ke Piala Dunia 2026.-IHSAN FIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian Speedy Tigers untuk melangkah ke final Kelayakan Piala Dunia 2026 berkecai apabila skuad negara dibelasah England 1-7 pada aksi separuh akhir di Ismailia, Mesir, sebentar tadi.

Kekalahan memeritkan itu menyaksikan Malaysia kini terpaksa mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga bagi menghidupkan peluang meraih tiket automatik ke Piala Dunia 2026.

Skuad bimbingan Sarjit Singh tiada pilihan selain menang dalam perlawanan itu, yang dijadual menemukan mereka sama ada dengan Pakistan atau Jepun esok.

Sekiranya tewas, nasib Malaysia akan bergantung kepada keputusan satu lagi kejohanan kelayakan yang berlangsung di Santiago, Chile.

Dalam situasi itu, skuad negara hanya berpeluang layak sekiranya ranking dunia mereka lebih baik berbanding pasukan yang menamatkan saingan di tempat keempat di kejohanan berkenaan.

Pada aksi separuh akhir, Malaysia bermula agak baik sebelum benteng pertahanan akhirnya bocor pada minit ke-19 apabila Sam Ward memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti untuk meletakkan England di depan.

Memasuki separuh kedua permainan, England meningkatkan tekanan dan terus menghukum kelemahan skuad negara.

Samuel Hooper menggandakan kelebihan pada minit ke-36 sebelum dua jaringan pantas daripada Thomas Sorsby dan Stuart Rushmere pada minit ke-42 serta 43 meletakkan England selesa mendahului 4-0.

Malaysia akhirnya meraih gol saguhati pada minit ke-50 menerusi jaringan padang Shafiq Hassan yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan.

Namun England tidak memperlahankan rentak apabila Zachary Wallace menambah gol kelima pada minit ke-54 sebelum Rushmere dan Hooper melengkapkan pesta jaringan pada minit ke-59 serta 60.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers kini berdepan misi hidup mati dalam perlawanan penentuan tempat ketiga bagi memastikan impian beraksi di pentas Piala Dunia 2026 terus bernyawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN