PUTRAJAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menaruh kepercayaan penuh terhadap barisan pemain hoki kebangsaan untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, Ogos ini.
Bagi merealisasikan impian tersebut, skuad kendalian Sarjit Singh perlu menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik pada aksi kelayakan Piala Dunia di Mesir, 28 Februari hingga 8 Mac ini.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, berdasarkan persiapan yang dilakukan oleh skuad Speedy Tigers, beliau percaya mereka mampu menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
“Insya-Allah. Saya tidak pernah tak yakin dengan jurulatih. Saya presiden yang selalu menyokong jurulatih dan pemain kita.
“Saya selalu berfikir positif. Ini qada dan qadar kan, kita merancang tuhan yang menentukannya. Tapi apa pun, saya cukup yakin bahawa jurulatih Sarjit dengan pemain akan memberikan yang terbaik untuk layak ke Piala Dunia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan KHM kali ke-71.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bakal memulakan kempen menentang Austria pada 1 Mac ini sebelum bertemu Pakistan keesokan harinya dan China (4 Mac).
Ditanya mengenai kedudukan Sarjit sekiranya Malaysia gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026, Subahan berkata, masa depan jurulatih tersebut akan ditentukan selepas kempen kelayakan.
“Saya tidak mahu mengatakan kami tentu layak jadi, sebagai presiden kami yakin bahawa jurulatih dan pemain akan membuat sehabis baik untuk layak ke Piala Dunia.
“Selepas kelayakan, kita akan mengadakan sidang media, kemudian anda (media) boleh tanya sekali lagi,” katanya.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia pada edisi 2023 di India dan menamatkan di tempat ke-13 keseluruhan. – UTUSAN










