PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan bahawa dirinya terlibat dalam skandal rasuah melibatkan ahli perniagaan, Victor Chin, berkaitan penyerahan RM9.5 juta daripada RM10 juta yang didakwa diminta oleh seorang Ahli Parlimen PKR sebagai penyelesaian isu skandal mafia korporat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan secara sinis mendakwa menerima pertambahan lemak badan susulan sambutan Aidilfitri, bukannya wang tunai seperti yang didakwa.
“Namun kerana masih dalam mood raya, saya akan ulas lanjut esok,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Victor mendakwa bahawa seorang Ahli Parlimen PKR telah meminta RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Dakwaan itu dikemukakan dalam dokumen setebal 40 muka surat.
Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan seperti dijanjikan.
Dakwaan mafia korporat berkisar mengenai bahawa pegawai kanan SPRM mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.
SPRM menerusi satu kenyataan semalam, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.
Badan pencegah rasuah itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan dipercayai berasal dari sebuah blog dalam talian tanpa pemilik, pengarang atau akauntabiliti yang jelas. – UTUSAN











