Rafizi bidas Anwar, dakwa Muhyiddin lebih berani

Rafizi bidas Anwar, dakwa Muhyiddin lebih berani

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli membidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih berani.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, satu perkara yang membezakan Anwar dengan Muhyiddin adalah soal keberanian dalam membuat keputusan.

Kata beliau, sekiranya dirinya berada di dalam Bersatu maka sudah lama beliau dipecat kerana sering melemparkan kritikan terhadap kepimpinan parti.

“Tapi Anwar seperti yang saya pernah sebut dalam audiosiar, kalau boleh dia nak semua orang buat untuk dia. Apa yang saya sebut sebelum ini sebagai hak yang dia ada, dia rasa hak dia supaya orang berkorban untuk dia kerana dia pemimpin besar.

“Bila sampai kepada kes saya, bila saya kritik dia, orang ingat dia akan tunjuk keberanian dengan memecat saya. Mana-mana pemimpin lain, dah lama akan pecat.

“Tapi Anwar dan PKR, dia nak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia. Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai ahli Parlimen,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di lama media sosialnya, hari ini.

Hubungan antara Ahli Parlimen Pandan itu dengan Anwar yang juga Perdana Menteri dilihat semakin merenggang selepas pemilihan parti pada tahun lalu apabila anak Anwar, Nurul Izzah terpilih menjadi Timbalan Presiden.

Susulan itu, Rafizi melepaskan jawatannya di dalam Kabinet sebagai Menteri Ekonomi dan kerap mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri khususnya melibatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Anwar mahu dirinya mengisytiharkan bahawa beliau sudah keluar dari PKR dan kemudian Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan isytihar bawaha kerusi Parlimen Pandan kosong.

“Puas hati mereka, padan muka kau. Tapi mereka nak saya tolong masak, tolong hidang dan mereka makan.

“Sama seperti sebelum ini, Anwar dan PKR nak saya kerja separuh mati angkat dia, keluar masuk lokap dedahkan skandal supaya orang sokong PKR, tapi bila dia dah jadi Perdana Menteri, ikut suka dia nak buat apa,” katanya.

Beliau memaklumkan bawah beliau sudah menerima surat dari PKR yang mengatakan bahawa dirinya sudah isytihar keluar dari parti.

“Ini saya kongsikan perangai Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh. PKR hantar surat tunjuk sebab kepada saya atas alasan saya telah isytihar keluar parti.

“Kononnya saya isytihar keluar parti bila saya sebut saya akan bertanding di Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tetapi bukan atas tiket PKR,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa itu merupakan perancangannya selepas Dewan Rakyat dibubarkan dan beliau tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

“Selagi saya ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen.

“Konar baring dari Fuziah Salleh ni, kalau kita guna pakai kepada kes Anwar di masa lalu, lagi memalukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×