PETALING JAYA: PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada bekas timbalan presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kenyataannya mengenai hasratnya mempertahankan kerusi Parlimennya pada PRU16, namun bukan dengan tiket parti itu.
Menerusi video dimuat naik di Facebook, Rafizi berkata, surat itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agong PKR, Dr Fuziah Salleh.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kenyataannya adalah mengenai perancangannya selepas Parlimen dibubarkan dan PRU16 dipanggil, menegaskan beliau bukannya mengumumkan keluar PKR.
“Selepas Dewan Rakyat bubar, saya tidak lagilah terikat dengan akta antilompat parti. Setelah saya tidak lagi jadi Ahli Parlimen (apabila Dewan Rakyat dibubarkan), terpulang pada sayalah nak buat apa.
“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar parti, atau isytihar saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai ahli PKR. Dan speaker tidak boleh memecat saya daripada Parlimen,” katanya. – UTUSAN










