PETALING JAYA: Bajet yang kukuh serta pelapis yang mantap merupakan kunci utama kebangkitan olahraga negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menegaskan pelantikan jurulatih baharu sahaja tidak mencukupi untuk melonjakkan prestasi olahraga negara.
Katanya, faktor bajet dan kualiti atlet pelapis memainkan peranan paling kritikal dalam merancang kejayaan jangka panjang untuk masa depan sukan olahraga.
Bagaimanapun, Nazmizan tidak mempertikaikan kualiti jurulatih tempatan yang dilantik oleh oleh Olahraga Malaysia (MA) kerana mereka semua terbukti berkaliber.
“Dari segi keupayaan jurulatih, memang berkaliber. Mereka melalui proses temuduga, berpengalaman dan hasil atlet terbukti. Cuma isu utama adalah bajet,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, bajet menentukan sejauh mana atlet Podium dan pelapis dapat mengikuti latihan dan pertandingan antarabangsa, bagi menambah pengalaman dan ‘push factor’ untuk lonjakkan prestasi.
“Kalau kita tak hantar atlet ke luar negara, mereka duduk dalam zon selesa. Dalam tempatan, mungkin menang, tapi siapa yang nak push mereka untuk lebih jauh?” katanya.
Menurut Nazmizan, perancangan program latihan dan kolaborasi antarabangsa tidak akan berhasil tanpa sokongan bajet yang mencukupi.
“Kalau perancangan cantik tetapi bajet tak cukup, ia seperti rumah yang dirancang cantik tapi duit tak cukup untuk bina, tak sampai ke penghujung.
“Bajet menentukan pembangunan atlet jangka panjang. Tanpa peruntukan yang jelas, program talent identification, kem latihan, dan penyertaan luar negara akan terganggu,” katanya.
Sebelum ini, MA mengumumkan pelantikan barisan kejurulatihan tempatan bagi musim 2026/27 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula sistem kejurulatihan badan induk tersebut.
Dalam struktur baharu ini, Mohd Manshahar Abd Jalil dilantik sebagai Ketua Jurulatih Lompatan dan turut berperanan sebagai penyelaras program kejurulatihan bagi memastikan pelaksanaan program latihan, pemantauan prestasi serta dokumentasi program berjalan secara selaras mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh MA- UTUSAN










