Negeri Sembilan batal majlis sambutan Aidilfitri peringkat negeri

Negeri Sembilan batal majlis sambutan Aidilfitri peringkat negeri

AMINUDDIN Harun menyantuni pembeli dan peniaga pada Program Mantai Raya di Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri susulan keputusan oleh kerajaan Pusat untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, turut dibatalkan ialah sambutan Hari Raya Madani yang dianjurkan oleh kerajaan Pusat.

Beliau berkata, sambutan peringkat negeri sepatutnya diadakan pada 4 April ini di Bandar Seri Jempol manakala peringkat kebangsaan di Port Dickson pada 12 April.

“Selepas mengadakan perbincangan, kerajaan negeri telah bersetuju membatalkan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang dijadualkan pada 4 April ini

“Pembatalan ini adalah sejajar dengan arahan kerajaan Pusat agar jabatan dan agensi kerajaan tidak menganjurkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Mantai Rayo 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Aminuddin menarik perhatian, pembatalan itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri yang boleh disalurkan untuk kegunaan lain. 

Sementara itu, tambahnya, pihak bukan kerajaan termasuk parti-parti politik tidak dihalang untuk meneruskan sambutan hari raya Aidilfitri yang telah pun dirancang sebelum ini.

“Bagaimana pun, saya berharap sambutan ini tidak dianjurkan secara besar-besaran. Cukup untuk meraikan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara kita,” ujarnya.

Mengenai program Mantai Rayo 2026,  beliau berkata, program itu dianjurkan secara serentak di 36 kawasan DUN di negeri ini. 

Menurutnya, setiap DUN diperuntukkan sebanyak 500 kilogram daging yang dijual dengan diberikan subsidi sebanyak RM3 untuk setiap kilogram.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN