WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders hari ini mempersoalkan pengaruh kumpulan pelobi pro-Israel terhadap demokrasi di negara itu.
Menerusi hantaran di platform X, Sanders memberi amaran bahawa Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) dan beberapa jawatankuasa tindakan politik lain (Super PAC) yang dibiayai golongan bilionair dijangka membelanjakan puluhan juta dolar bagi menewaskan Abdul El-Sayed dalam perlumbaan merebut kerusi Dewan Senat di Michigan.
“Sebagai pembayar cukai, beliau (El-Sayed) memahami bahawa kita tidak sepatutnya membelanjakan lebih AS$1 trilion (RM4 trilion) untuk ketenteraan dan berbilion dolar lagi bagi menyokong kerajaan Benjamin Netanyahu di Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” kata Sanders merujuk kepada El-Sayed.
“Sama ada AIPAC, kecerdasan buatan (AI) atau mata wang kripto, Super PAC yang dibiayai golongan bilionair akan membelanjakan wang tanpa had untuk melemahkan demokrasi dan menewaskan calon yang membela golongan pekerja serta mencabar pengaruh mereka. Kita tidak boleh membiarkan mereka berjaya,” tambah Sanders.
El-Sayed sebelum ini menyifatkan perang Israel di Gaza sebagai satu pembunuhan beramai-ramai dan mengkritik bantuan ketenteraan AS kepada Israel, dengan menyatakan dana itu sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat Amerika.
El-Sayed, yang akan mencipta sejarah sebagai senator Muslim pertama negara itu sekiranya dipilih bagi menggantikan Senator Parti Demokrat, Gary Peters yang akan bersara di Michigan pada pilihan raya November ini. – AGENSI










