Feri percuma dua hari sempena Aidilfitri di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Feri percuma dua hari sempena Aidilfitri di Pulau Pinang

ORANG ramai berpeluang menggunakan perkhidmatan feri percuma selama dua hari di Pulau Pinang sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menyediakan perkhidmatan feri percuma selama dua hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, inisiatif itu melibatkan perjalanan di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) pada hari pertama dan kedua Aidilfitri yang dijangka disambut pada 21 Mac ini.

“Kemudahan ini ditawarkan khusus kepada warganegara Malaysia sebagai usaha memudahkan pergerakan rakyat, khususnya pada musim perayaan.

“Perkhidmatan feri percuma ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini malah turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta merujuk jadual feri terkini melalui laman sesawang dan media sosial rasmi SPPP serta PPSB.

“Pihak kami komited memastikan kelancaran operasi dengan mengutamakan aspek keselamatan, keselesaan dan kepuasan pengguna sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPPP turut menaja program kemasyarakatan sempena ulang tahun ke-70 agensi itu menerusi kempen “Kids Go Free | Aidilfitri Special” di Muzium Feri Pulau Pinang.

Katanya, program berkenaan membolehkan kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 12 tahun ke bawah menikmati kemasukan percuma ke muzium tersebut dari 23 hingga 25 Mac ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN