BATU KAWAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengenal pasti sebanyak 18 lokasi hotspot yang sering berlaku kemalangan di seluruh negeri ini.
Menerusi Op Hari Raya (Op HRA) 2026 yang dijalankan, jabatan itu juga menyasarkan untuk menurunkan kadar kemalangan tersebut kepada 10 peratus.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, sehubungan itu, penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa terutamanya di laluan hotspot tersebut yang melibatkan kesemua lima daerah.
“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah di Jalan Teluk Air Tawar, Jalan Pokok Sena dan Jalan Sungai Puyu, Jalan Baru Perai, Jalan Bukit Mertajam dan Jalan Perusahaan Perai (SPT) serta Jalan Bukit Tambun, Kilometer 13 hingga Kilometer 32 (Simpang Ampat) dan Jalan Valdor.
“Bagi daerah Timur Laut pula, lokasi tersebut ialah di kawasan Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Paya Terubong dan hentian sebelah E-Gate manakala di Barat Daya melibatkan Jalan Tun Dr. Awang serta Jalan Sultan Azlan Shah,” katanya pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Singgah Sahur di Plaza Tol Bukit Tambun arah utara di sini, tengah malam tadi.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, seramai 245 anggota akan ditugaskan sepanjang Op HRA dengan rondaan dijalankan selama 16 jam sehari di laluan ‘hotspot’ manakala operasi pula akan dilaksanakan selama 24 jam ketika tempoh larangan penuh.
“Bagi tujuan ini, anggota akan ditempatkan di point operative sepanjang laluan hotspot dan melakukan rondaan berterusan bagi memastikan pemantauan dibuat sepanjang masa,” katanya. – UTUSAN










