SEREMBAN: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan pihaknya kini masih menunggu keputusan rayuan pendaftaran Parti Keluarga Malaysia (PKM) daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), itu berkata, pendaftaran parti itu sebelum ini tidak dapat diteruskan disebabkan beberapa perkara.
Oleh itu katanya, pihak parti berkenaan telah mengemukakan rayuan kepada ROS termasuk menjelaskan semua bayaran berkaitan.
“Bukan gagal tetapi apabila sudah sampai masa, ada perkara-perkara yang menyebabkan parti itu tidak meneruskannya ketika itu. Mereka kemudian sudah buat rayuan.
“Mereka pun sudah tunjuk kepada saya semua bayaran telah dibuat, jadi sekarang kita tunggulah rayuan itu,” katanya kepada pemberita pada program Moreh Perdana di Port Dickson semalam.
Hamzah dalam pada itu berkata, beliau tidak pasti tempoh kelulusan tersebut itu dapat diketahui.
“Saya pun bila nak dapat kelulusan itu pun saya tak tahu. Kita kalau orang baik-baik ini, kita tunggu sahaja dan bersabar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Hamzah mengesahkan bahawa beliau akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia dalam masa terdekat.
Katanya, perbincangan telah dilakukan dengan pengasas parti itu Khairi Jaya dan ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad berkata parti yang dikatakan bakal diambil oleh Hamzah itu pernah cuba didaftar pada 2022 namun ditolak.
Beliau berkata, ROS juga belum menerima permohonan baharu untuk pendaftaran semula parti terbabit. – UTUSAN










