KANGAR: Langkah Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengambil masa terlalu lama untuk menentukan rumah baharu pasukan ‘reset’ diketuainya bakal memberi ruang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengukuhkan kedudukan.
Malah, bekas Timbalan Presiden Bersatu itu juga dijangka berdepan cabaran getir bagi memastikan rumah baharu itu diterima sebagai anggota di dalam Perikatan Nasional (PN) yang sudah pastinya akan disanggah oleh Bersatu.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan calang-calang ahli politik yang boleh dipandang ringan.
Katanya, mengambil masa yang terlalu panjang bakal membolehkan Muhyiddin dan Mohamed Azmi mengukuhkan kembali kepemimpinan Bersatu khususnya di bahagian-bahagian bermasalah.
“Apabila sudah dilantik muka baharu (di bahagian-bahagian), mereka hanya perlu lakukan pengisian. Dengan kekuatan sumber yang ada, Muhyiddin dan Mohamed Azmin telah menggerakkan pelbagai program untuk menunjukkan kekuatan Bersatu.
“Program-program yang diadakan itu pula dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kanan Pas yang memberikan isyarat kebersamaan mereka masih kekal di dalam PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini, Bersatu terus bertindak agresif melakukan pembersihan terhadap pemimpin-pemimpin yang dikaitkan atau menyokong Hamzah apabila menggantung dan memecat beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu.
Antaranya, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang melihat tindakan yang dikenakan ke atasnya itu adalah disebabkan pimpinan parti melihat dirinya sebagai ‘orang’ Hamzah.
Manakala Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor pula berkata, tindakan penggantungan terhadapnya disebabkan beliau hadir pada program reset pada 14 Februari lalu membabitkan kehadiran Hamzah.
Dua bekas ADUN Bersatu di Kedah yang dipecat parti pula sememangnya sudah menjangkakan perkara itu setelah diberi surat tunjuk sebab menuntut penjelasan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan apabila menyokong Hamzah.
Sementara itu, Hashim berkata, selepas fasa pembersihan, beliau menjangkakan Muhyiddin dan Mohamed Azmin akan bertambah yakin untuk terus bertindak melalui Lembaga Disiplin.
“Cabaran Hamzah sudah pastinya untuk memastikan rumah baharu diterima sebagai anggota PN yang tentunya disanggah oleh Bersatu. Pemimpin-pemimpin yang dalam pasukan reset perlu melihat perkara ini meskipun rata-rata dilihat sangat kagum dan cenderung untuk patuh sepenuhnya kepada Hamzah. Apapun masa yang akan menentukan perjalanan mereka seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata, kumpulan atau gerakan reset Hamzah sudah pastinya mengharapkan dukungan Pas melalui PN.
“Di dalam PN ada parti induk (Bersatu) yang melahirkan kabilah politik reset. Jika rumah baharu reset diluluskan menyertai PN sekali pun, mereka akan bertanding di kerusi yang sama dengan parti induk (Bersatu) yang melahirkan dan kini membuang mereka.
“Antara persoalan lain, bagaimana pemimpin reset hendak menggerakkan konsensus nasional selain PN, siapa di luar lingkungan yang akan ikut mereka, Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN)?” soalnya. – UTUSAN










